Sunday 21 April 2013

Asal Usul Pengasasan Melaka

Parameswara ialah putera raja dari Palembang. Palembang ketika itu adalah dibawah naungan Majapahit. Parameswara telah dilahirkan pada tahun 1344. Pada tahun 1390, baginda telah berkahwin dengan seorang puteri kepada Maharaja Majapahit dan menjadi pendukung setia kepada bapa mertuanya.
      Tidak lama kemudian, Parameswara telah mengingkari janji setianya kepada Maharaja Majapahit. Parameswara berusaha membebaskan Palembang dari penguasaan kerajaan Majapahit. Tindakan ini telah menyebabkan Maharaja Majapahit menghantar panglima perangnya untuk menghalau Parameswara dari Palembang.
      Parameswara telah melarikan diri ke Tumasek, iaitu nama lama bagi Singapura bersama pengikut dan ahli keluarganya. Pada waktu itu, Tumasek diperintah oleh seorang Gabenor Melayu dari Patani yang dilantik oleh Raja Siam bernama Temagi. Parameswara telah membunuh gabenor itu dan mengisytiharkan dirinya sebagai Pemerintah Singapura dan pulau-pulau di sekelilingnya. Kejadian ini menjadi kemarahan kepada Siam. Parameswara telah melarikan diri ke Muar sebelum Siam sempat menyerangnya dan menetap di situ selama kira-kira dua tahun.
      Di Muar, Parameswara gagal menubuhkan sebuah kerajaan di dua buah tempat iaitu di Biawak Busuk dan Kota Buruk kerana diganggu oleh kehadiran biawak yang terlalu banyak dan peristiwa sebuah pondok yang tiba-tiba runtuh. Baginda telah membawa pengikutnya ke suatu tempat yang bernama Sening Ujung atau sekarang dikenali sebagai Sungai Ujung dan Bertam hingga akhirnya tiba di sebuah perkampungan nelayan.
      Pada suatu hari, Parameswara dan pengikutnya pergi berburu. Apabila kepenatan, Parameswara bersandar pada sepohon pokok.Tiba-tiba, anjing perburuan Parameswara ditendang oleh seekor pelanduk putih dan anjing itu terjatuh ke dalam sungai. Parameswara  yang ternampak peristiwa itu berasa amat kagum melihat akan keberanian dan kekuatan pelanduk putih itu. Parameswara berpendapat bahawa tempat itu sangat bertuah dan sesuai dijadikan negeri. Parameswara menamakan tempat itu berdasarkan nama pokok yang disandarnya, iaitu Melaka.